Tempat-tempat bersejarah di Pulau Pinang

beberapa tempat menarik di Pulau Pinang yang masih wujud lagi

 

Kota Cornwallis

Kota Cornwallis terletak di hujung George Town. Diuruskan secara persendirian, boleh dikunjungi dengan yuran masuk RM1. Kota yang menghadap ke pelabuhan ini membolehkan anda melihat kegiatan di persisiran pantai dan sebelah timur dengan jelas. Di kawasan barat laut kota ini terdapat selaras meriam Belanda Seri Rambai sedia ada di situ sejak tahun 1603. Wanita tempatan meletakkan jambangan bunga pada laras meriam sebagai satu kepercayaan untuk meningkatkan kesuburan mereka. Pada tahun 2000 kota ini telah dibaikpulih dan sebahagian dari parit telah dibina semula.

Bangunan Dewan Undangan

Bangunan Dewan Undangan Negeri yang tersergam indah terletak di sepanjang Lebuh Light di sebelah selatan Padang. Senibina keseluruhan bangunan ini begitu menarik, terutamanya rekaan anjung ala-Greek yang dibina pada pertengahan abad ke-19 dan ia pernah digunakan sebagai Balai Polis. Dari Kota Cornwallis, anda boleh berjalan kaki menyusuri Esplanade menghala ke Dewan Bandaraya yang terletak hanya di seberang Padang. Esplanade ini sangat terkenal di kalangan penduduk tempatan untuk bersiar-siar di waktu petang. Berhampiran dengan bangunan Dewan Bandaraya terdapat sebaris pusat penjaja di tepi pantai yang sesuai untuk anda melapangkan fikiran sambil menikmati juadah.

Tokong Kuan Yin

Anda boleh meneruskan perjalanan di tepi dinding gereja ini di sepanjang Jalan Masjid Kapitan Keling (dahulu Jalan Pitt). Jalan ini diperuntukkan bagi tempat beribadat bagi berbagai bangsa yang mengamalkan berbagai adat dan budaya di Pulau Pinang. Jika anda menghala ke depan dari gereja ini, anda akan menemui sebuah tokong Cina di sebelah kanan. Di sinilah letaknya Tokong Kuan Yin (Goddess of Mercy) yang diasaskan sebelum tahun 1800. Ia menampilkan bumbung memanjang dengan tembok atas dan rabung yang berhias indah. Ia kini merupakan sebuah tokong yang begitu popular kerana sering dikunjungi oleh golongan tua dan muda. Bangsawan atau wayang Cina dipersembahkan di medan berlantaikan granit pada setiap perayaan Kuan Yin yang diraikan tiga kali setahun.